Filem Ejen Ali The Movie 2 mencipta sejarah apabila berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM34.2 juta dalam tempoh hanya 11 hari tayangan rasmi bermula 22 Mei 2025, termasuk dua hari tayangan awal.
Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja mengatasi kutipan filem terdahulu, Ejen Ali: The Movie (2019), malah menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa paling singkat, menurut TGV dan GSC.
Diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin, filem animasi mesra keluarga ini berjaya menarik lebih dua juta penonton ke pawagam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama seisi keluarga sempena cuti sekolah yang sudah bermula.
Sambutan hebat daripada penonton ini membuktikan permintaan yang semakin meningkat terhadap karya animasi tempatan yang berkualiti tinggi, dan sekaligus meletakkan Ejen Ali The Movie 2 sebagai peneraju baharu dalam industri.
Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin, melahirkan rasa syukur atas sokongan luar biasa yang diterima:
“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali. Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam,” katanya.
Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, turut berkongsi rasa bangga terhadap pencapaian ini:
“Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2. Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali,” katanya.
Ejen Ali The Movie 2: Misi: SATRIA mengisahkan perjuangan Ali dalam menentang ancaman baharu, Neonimus, dengan bantuan sut perisai SATRIA yang canggih.
Diterbitkan oleh WAU Animation dan Primeworks Studios, filem ini menyambung kisah daripada musim ketiga siri Ejen Ali, menampilkan jalan cerita yang penuh aksi dan visual yang mengagumkan.
Orang ramai dijemput untuk mendapatkan tiket dan menyaksikan Ejen Ali The Movie 2 yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Sumber: TV3
@gamersantaimy
Discussion about this post